YANG DI PERTUAN NEGERI KELANTAN
Sultan Muhammad V, sebelum dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan, dikenali dengan nama Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Faris Petra. Baginda dilantik sebagai Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan pada bulan Oktober 1985. Baginda dilahirkan pada 6 Oktober 1969 dan merupakan putera sulung kepada KDYMM Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail Petra ibni al-Marhum Sultan Yahya Petra dan Yang Maha Mulia Tengku Anis binti Tengku Abdul Hamid. Pada 24 Mei 2009 Baginda telah dilantik sebagai Pemangku Raja Kelantan, manakala pada 13 September 2010 bersamaan dengan 4 Syawal 1431H pula, Baginda telah dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan Darulnaim dengan gelaran Sultan Muhammad V. Seterusnya pada tanggal 13 Disember 2011, Sultan Muhammad V telah dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-14.
Baginda Sultan Muhammad V merupakan raja pemerintah bagi negeri Kelantan Darulnaim dan jajahan takluknya. Dalam Mesyuarat Majlis Raja-raja kali ke-243 (khas) di Istana Negara, Sultan Muhammad V dilantik sebagai Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-15. Istiadat lafaz sumpah jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-15 ini telah disempurnakan pada 13 Disember 2016 bersamaan 13 Rabiulawal 1438H, hari Selasa, jam 12.00 tengah hari di Istana Negara, Kuala Lumpur, manakala Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-15 pula disempurnakan pada 24 April 2017 bersamaan 27 Rejab 1438H, hari Isnin, jam 10.00 pagi di Istana Negara, Kuala Lumpur. Pemilihan dan pelantikan Baginda sebagai Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong adalah berasaskan sistem pemerintahan raja berperlembagaan dan amalan demokrasi berparlimen sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sultan Muhammad V mendapat pendidikan awal di Sekolah Sultan Ismail Satu, Kota Bharu mulai tahun 1976. Sepanjang masa persekolahan itu, Baginda sentiasa terpilih menjadi Ketua Darjah. Sewaktu Baginda berada dalam Darjah Enam, Baginda menjadi pilihan warga sekolah tersebut apabila Baginda dilantik sebagai Ketua Pengawas. Ketika Peperiksaan Penilaian Darjah Lima pada tahun 1980, Baginda mendapat keputusan cemerlang, iaitu 5A. Berikutnya, pada tahun 1981, Baginda telah berjaya menggondol Piala Pusingan Pelajar Terbaik sekolah. Sangat jelas dalam hal ini bahawa bakat kepimpinan Baginda sudah terserlah ketika zaman awal persekolahan lagi.
Baginda juga telah mendapat asuhan dan didikan ilmu keagamaan sejak kecil. Ini terbukti apabila Baginda telah khatam al-Quran pada usia yang masih muda. Selepas tamat belajar di peringkat rendah, Baginda melanjutkan pelajarannya di Alice Smith School Association, Jalan Balleyns, Kuala Lumpur(Sekolah Antarabangsa Alice Smith, Kuala Lumpur) di dalam Kelas Persediaan sehingga tamat. Oleh kerana minat dan kegigihan Baginda yang mendalam terhadap ilmu dan pendidikan, maka pada bulan September 1984 Baginda telah melanjutkan pelajaran di Oakham School Ruthland, England. Di sana Baginda terus berada di peringkat Tingkatan 3 dan seterusnya ke peringkat ‘A Level’ pada tahun 1987. Baginda amat cergas berpersatuan dan terlibat dalam ‘Duke of Edinburgh Award’ yang merupakan sebuah badan persatuan yang terkemuka di Oakham School Ruthland. Baginda berjaya menamatkan pelajaran di Oakham School Ruthland pada tahun 1989.
Seterusnya, Baginda melanjutkan pengajiannya dalam bidang Pengajian Diplomatik (Diplomatic Studies) di St. Cross College, Oxford dan dalam bidang Pengajian Islam (Islamic Studies) di Oxford sehingga tahun 1991. Sementara itu, pada bulan Disember 1990, Baginda turut mengikuti Kursus Diplomatic Relations di Deustche Stiflung Entwicklung, Berlin. Selepas itu, Baginda meneruskan pengajiannya di European Business School di England dalam bidang European Business Administration. Oleh kerana pengajian Baginda memerlukan penguasaan beberapa bahasa Eropah, maka Baginda telah berangkat ke Nice, Selatan Perancis, bagi mendalami bahasa Perancis. Di samping itu, Baginda juga boleh berbahasa Jerman. Baginda kini telah mendapat Ijazah Humanity And Finance dari Huron University.
Sultan Muhammad V seorang yang merendah diri, peramah dan sangat mengambil berat akan perihal rakyat di negeri Kelantan. Baginda banyak melibatkan diri dalam aktiviti kebajikan, keagamaan dan menjadi kelaziman Baginda menziarahi rakyat yang ditimpa musibah dan berada dalam kemiskinan. Sikap Baginda yang prihatin dan mempunyai karisma yang tersendiri menjadi bualan rakyat kebanyakan atau golongan marhaen, terutama golongan yang pernah mendapat sentuhan peribadi Baginda. Pada waktu musibah banjir di Kelantan pada tahun 2014, Baginda Sultan telah turut membantu mangsa banjir di beberapa kawasan. Pegangan agama yang kuat dalam diri Baginda juga terserlah dan ini dapat dilihat melalui penampilan tersendiri Baginda yang kerap kali mencemar duli menghadiri majlis ilmu dan pelbagai program di masjid. Keadaan ini juga dapat dibuktikan melalui perisytiharan yang dititahkan oleh Baginda selepas dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan supaya seruan “Daulat Tuanku” digantikan buat pertama kali dengan seruan “Allahu Akbar”.
Pada zaman pemerintahan Baginda Tuanku Ismail Petra, usaha-usaha membangunkan negeri dan mendaulatkan Islam terus diperhebat. Salah satu undang-undang penting yang diperkenalkan pada tahun 1984 ialah Enakmen Keluarga Islam yang telah berjaya mengurangkan angka-angka perceraian di negeri ini. Projek-projek pembangunan fizikal keagamaan juga turut dipertingkatkan dari semasa ke semasa, seperti pembinaan masjid, surau, madrasah, pusat-pusat pengajian tinggi, Mahkamah Syariah, rumah-rumah Kadhi, dan Kompleks Balai Islam yang semuanya menuju ke arah pembangunan kerohanian ummah. Selain itu, Yayasan Islam Kelantan (YIK), sebuah agensi agama yang penting selepas MAIK dan JAHEIK, telah juga ditubuhkan pada tahun 1983 dengan ampuni perkenan baginda.
Berbagai-bagai kemajuan telah dicapai pada zaman pemerintahan Baginda, baik dalam bidang pertanian, perdagangan, kebudayaan maupun agama. Pada zaman pemerintahan Baginda, Pusat Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK) ditubuhkan pada tahun 1965 dengan tujuan utama untuk meninggikan syiar Islam menerusi pendidikan. Sultan Yahya Petra telah memperkenankan Istana Nilam Puri yang dibina pada tahun 1927 oleh al-Marhum Sultan Ismail dijadikan bangunan pertama pusat pengajian itu. Selepas terbentuknya Kerajaan Campuran PAS-PERIKATAN dan kemudiannya Barisan Nasional, PPTIK yang kemudiannya berubah nama kepada Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK) telah diletakkan di bawah Universiti Malaya, dan dikenali dengan nama Akademi Islam Universiti Malaya (sekarang APIUM).
Selain itu, bagi tujuan untuk melicinkan lagi pengajian dan pentadbiran Sekolah-sekolah Agama di negeri ini, Sultan Yahya Petra telah berkenan supaya ditubuhkan sebuah Jabatan yang dikenali dengan nama “Jabatan Sekolah-sekolah Agama Kelantan” atau JASA bagi menangani sekolah-sekolah agama yang diambil alih oleh kerajaan negeri dari MAIK pada 1 Julai 1976. Satu langkah besar lain yang dilakukan oleh Kerajaan Baginda pada masa itu, yang menjadi kenangan sepanjang zaman, ialah penubuhan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) pada tahun 1979. Penubuhan jabatan ini adalah satu langkah ke hadapan dalam upaya menaikkan taraf pentadbiran Islam di negeri Kelantan yang sebelumnya hanya wujud dalam bentuk sebuah bahagian - Bahagian Agama - sahaja di pejabat SUK. Baginda merupakan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-6 yang telah dimasyhurkan pada 21 September 1975. Baginda mangkat pada 29 Mac 1979 ketika masih berkhidmat sebagai Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Baginda mewarisi pemerintahan dalam zaman yang penuh kemelaratan akibat Perang Dunia Kedua. Beberapa peristiwa penting dan bersejarah yang menghambat kemajuan telah berlaku di sepanjang pemerintahan Baginda. Selepas Jepun tewas pada bulan Ogos 1945, Inggeris kembali semula ke Tanah Melayu, dan meletakkan negara ini di bawah Pentadbiran Tentera British (British Military Administration-BMA), termasuk negeri Kelantan. Kemudian meletus pula krisis Malayan Union pada tahun 1946 yang menyaksikan seluruh Tanah Melayu dan Negeri-negeri Selat diletakkan di bawah kekuasaan British. Oleh sebab peristiwa Malayan Union inilah, maka buat pertama kalinya, orang-orang Melayu di seluruh Tanah Melayu telah bersatu dan berganding bahu menentang penubuhannnya. Selepas Malayan Union digulingkan, lahir pula Persekutuan Tanah Melayu, di mana negeri Kelantan menjadi sebahagian daripadanya, iaitu setelah dimeteraikan perjanjian antara Raja-raja Melayu dengan Kerajaan British, dikenali dengan nama Perjanjian 1948 dan akhirnya diikuti dengan kelahiran Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka pada tahun 1957. Semua peristiwa-peristiwa ini berlaku pada zaman pemerintahan Baginda.
Patut dicatat, bahawa pada zaman Baginda, iaitu pada tahun 1957 Sekolah Arab Naim Lil Banat telah dibina dan dibuka di Kampung Langgar, Kota Bharu dengan menelan kos sebanyak RM80,000.00. Ia merupakan salah sebuah Sekolah Arab Puteri yang terbesar pada waktu itu dengan pelajarnya datang dari dalam dan luar negeri, termasuk dari wilayah-wilayah Selatan Thailand. Pada tahun 1959 pula, Sekolah Menengah Arab Saniah Pasir Puteh siap dibina dengan menelan kos sebanyak RM150,000.00.
Baginda Sultan Ismail amat prihatin terhadap kemajuan negeri, baik dalam bidang pentadbiran, pelajaran dan juga kemasyarakatan. Menyedari pelajaran dan pendidikan itu amat penting, maka Baginda telah menitahkan supaya dibina sekolah-sekolah di merata-rata jajahan dan pekan-pekan yang mempunyai bilangan penduduk yang ramai. Sebuah sekolah Inggeris telah didirikan di Kota Bharu pada tahun 1936, dikenali dengan nama Sultan Ismail College atau Sekolah Inggeris Ismail, iaitu Sekolah Inggeris yang julung-julung kali pernah didirikan di negeri ini. Sekolah ini kemudiannya dikenali dengan nama Maktab Sultan Ismail (SIC), mengambil sempena nama Baginda.
Pada zaman Baginda juga masjid lama (Kota Bharu) yang dibina daripada kayu telah digantikan dengan bangunan baru yang diperbuat dari batu. Pada 21 Ogos 1922, telah diadakan istiadat peletakan batu asas dengan disempurnakan oleh Baginda sendiri. Kemudian pada 31 Julai 1931 pula, Baginda sekali lagi berangkat merasmikannya, yakni “membuka bagi permulaan pakai masjid ini dengan menunaikan sembahyang Jumaat”. Masjid ini kemudian diberi nama Masjid Muhammadi, mengambil sempena nama al-Marhum Sultan Muhammad IV yang begitu besar jasanya kepada perkembangan Islam di negeri ini. Selain itu, pada zaman pemerintahan Baginda juga muncul beberapa pertubuhan orang Melayu seperti Setia Kelab yang lahir pada 14 Disember 1922, Setiawan Belia (11 Oktober 1931), Dewan Bahasa Melayu Kelantan (10 Oktober 1933) dan lain-lain.
Pada zaman pemerintahan Baginda Sultan Muhammad IV pondok-pondok tempat belajar agama semakin banyak didirikan. Pelajar-pelajarnya bukan sahaja datang dari Kelantan, tetapi juga dari luar negeri, iaitu dari rantau Asia Tenggara, terutama dari Patani, Kamboja dan Sumatera Timur, (seperti Deli, Mandiling, Jambi, Kampar, dan Siak). Pada masa yang sama, kerajaan negeri telah menggalakkan pelajar-pelajar Islam di negeri ini melanjutkan pelajaran tinggi mereka ke merata-rata tempat, termasuk di Timur Tengah, terutama Mekah dan Mesir. Selain itu, menjadi salah satu jasa besar Sultan Muhammad IV juga ialah penubuhan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang merupakan sebuah badan yang berperanan besar dalam bidang pentadbiran dan pembangunan Islam di negeri ini.
Baginda sangat prihatin dengan perkembangan Agama Islam di negeri ini. Baginda banyak melakukan khairat atau kebajikan di dalam dan di luar negeri, seperti mendirikan rumah-rumah wakaf di Mekah, Madinah dan Jeddah untuk faedah rakyat Kelantan dan umat Islam yang berangkat menunaikan ibadat Haji. Baginda Sultan Muhammad I mempunyai seorang penasihat agama yang terkenal bernama Syeikh Abdul Halim, seorang muallim agama yang telah berkhidmat sejak zaman pemerintahan ayahanda Baginda - Long Yunus - lagi.
Pada zaman pemerintahan Baginda, syiar Islam semakin terserlah. Baginda mengenakan hukuman potong tangan kepada pencuri yang didapati bersalah dan menjatuhkan hukuman bunuh ke atas orang yang didapati bersalah kerana membunuh, kecuali apabila diminta oleh keluarga si mati supaya hukuman itu diringankan. Selain itu, Baginda Sultan Muhammad II juga telah menitahkan supaya dibina sebuah masjid kayu yang besar di tengah-tengah bandar Kota Bharu pada tahun 1867, menggantikan masjid lama yang telah roboh akibat bencana banjir. Masjid ini kemudiannya berkembang menjadi Masjid Muhammadi pada 1931, dan terus hidup dan berfungsi sehingga sekarang. Hal yang sama selepasnya dipraktikan pada zaman pemerintahan Sultan Ahmad dan Sultan Muhammad III (Long Kundur) selepasnya. Namun, pada zaman ini, tidak banyak perubahan dapat dilakukan kerana hayat pemerintahan Baginda berdua yang singkat.
Baginda seorang Sultan yang warak, berjiwa besar dan progresif. Baginda tidak suka melihat berlakunya perbuatan yang bercanggah dengan hukum Islam yang suci. Baginda tidak suka melihat rakyat memakai pakaian yang tidak kemas dan tidak menutup aurat. Bagi mempastikan peraturan ini dipatuhi, Baginda telah meletakkan panglima-panglima dan hulubalang-hulubalang negeri berkawal di simpang-simpang jalan dengan membawa baldi yang berisi belaking, iaitu sejenis cat berwarna hitam. Sesiapa yang didapati melanggar peraturan pakaian yang ditetapkan, tubuh mereka akan disapu dengan belaking dan kerisnya dirampas. Dengan cara tersebut peraturan itu telah dapat dilaksanakan dengan baik.
Selepas mengalahkan Long Pandak, Long Yunus telah mengisytiharkan dirinya menjadi Yang Di-Pertuan Kelantan di Kota Kubang Labu pada tahun 1765. Dengan pelantikan Long Yunus menjadi Yang Di-Pertuan Kelantan, maka suatu era baharu dalam sejarah negeri Kelantan telah bermula. Negeri Kelantan yang lama yang pernah terpecah kepada dua bahagian barat dan timur, telah berakhir, sebagaimana juga berakhirnya pengaruh Patani dan Legeh ke atas Kelantan. Kelantan yang muncul di bawah pemerintahan Long Yunus sekarang ialah sebuah negeri Kelantan yang bersatu dan bebas daripada mana-mana pengaruh dan kekal berada dalam sebuah keluarga atau dinasti - Dinasti Long Yunus - yang berlanjutan sehingga sekarang.
