IKHTISAR

  • SEJARAH MAIK

    Cadangan penubuhan MAIK pertama kali muncul selepas Haji Muhammad bin Khatib Haji Mohd. Said pulang ke Kelantan pada penghujung tahun 1914. Meskipun Dato’ Haji Nik Mahmud dan Tok Kenali sudah sering berembuk dan berdiskusi mengenai hal ehwal agama dan pentadbiran negeri sebelumnya, namun buah fikiran ke arah penubuhan MAIK belum pernah kedengaran. Setelah kepulangan Haji Muhammad barulah usul atau cadangan ini mula tercetus dan kemudiannya mengalami proses kematangan sebelum diangkat ke Majlis Mesyuarat Negeri.

    Oleh sebab urutan inilah, maka ada kecenderungan sebahagian penyelidik untuk meletakkan kredit atau pujian penubuhan MAIK kepada Haji Muhammad. Walau bagaimanapun, bagi memastikan cadangan ini mendapat tempat serta mempunyai daya jual yang tinggi, terutama bagi memenangi hati golongan aristokrat Melayu Kelantan pada waktu itu, maka idea ini mesti dimatangkan terlebih dahulu bersama-sama dua orang yang sangat berpengaruh; seorang daripada kalangan ulama (Tok Kenali), manakala seorang lagi daripada kalangan pentadbir (Dato’ Bentara Setia Haji Nik Mahmud).

    Setelah melalui proses panjang pada tahun 1915, ditambah pula dengan dampak pemberontakan Tok Janggut sebagai pemangkin, cadangan ini kemudian dibentangkan dalam Majlis Mesyuarat Negeri Kelantan (Kelantan State Council) pada 7 Disember 1915 (bersamaan 30 Muharam 1334). Cadangan ini dengan segera mendapat persetujuan para ahli serta ampuni perkenan al-Sultan Kelantan kemudiannya. Tidak lama kemudian, iaitu pada 24 Disember tahun yang sama, bersamaan 17 Safar 1334, MAIK telah dimasyhurkan penubuhannya oleh KDYMM Sultan Muhammad IV dalam satu istiadat gilang-gemilang bertempat di hadapan bangunan Pejabat Tanah Kota Bharu (bangunan lama di hadapan Istana Balai Besar sekarang), di hadapan pembesar-pembesar negeri, orang-orang kenamaan, dan disaksikan oleh sebahagian rakyat negeri Kelantan. Dalam perisytiharan ini, baginda al-Sultan antara lain bertitah; “Bahawasa kita di dalam mesyuarat Council pada hari Selasa 30 haribulan Muharram 1334 bersamaan dengan 7 Disember 1915 ini sungguhnya telah suka kita mekurniakan kepada anak-anak negeri kita satu Majlis yang bernama ‘Majlis Ugama dan Istiadat Melayu’ kerana menimbangkan bagi kebajikan negeri Kelantan. Maka dengan sebab yang demikian itu, inilah hari yang kita mulai buka Majlis ini kepada pengetahuan anak negeri kita supaya mereka itu mengetahui akan maksud kita kurniakan Majlis ini. Adalah tujuan kita pada perkataan ‘ugama’ itu ialah tiap-tiap perkara yang bergantung dengan ugama Islam yang mendatangkan muslihat kepada sekalian anak negeri kita lagi menambahkan bagi kebajikan Kelantan. Dan kita kehendaki dengan perkataan ‘istiadat Melayu’ itu ialah yang melengkapi atas adab dan adab Melayu yang elok sayogiya dipelihara akan dia mengikut bagaimana peredaran masa....”.

    Sejumlah 12 orang telah dilantik oleh baginda bagi menjadi anggota MAIK pada hari perisytiharan ini. Anggota tersebut terdiri daripada:-

    • Haji Awang Muhammad Yusoff bin Ahmad (Tok Kenali)
    • Khatib Haji Mohd. Said Jamaludin
    • Haji Wan Muhammad Haji Wan Abdul Samad
    • Haji Wan Abdullah bin Wan Abdul Samad
    • Muhammad Ghazali Ariffin (Dato’ Bentara Luar)
    • Muhammad Daud @ Che Wok bin Salim
    • Nik Ja’far bin Haji Ni Abdul Kadir (Dato’ Bentara Dalam)
    • Nik Wan Muhammad III
    • Tambi Umar bin Tambi Kecik
    • Nik Mahmud Haji Wan Ismail (Dato’ Bentara Setia)
    • Haji Muhammad bin Khatib Haji Mohd. Said (kemudiannya Dato’ Bentara Jaya)

    (Petikan daripada buku MAIK perananya dalam bidang keagamaan, persekolahan, dan penerbitan di Kelantan sehingga 1990 tulisan Abdul Razak Mahmud terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur tahun 2010).

  • PENUBUHAN UNIT ADAT

    Pada 14 Mac 2012, satu mesyuarat Jawatankuasa Perkhidmatan dan Perjawatan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan bilangan 1 tahun 2012 telah meluluskan Cadangan Penubuhan Unit Adat Istiadat di Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan. Seterusnya, mesyuarat Ahli Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan kali ke-887 bilangan 1 tahun 2012 yang bersidang pada 30hb April 2012 dengan Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan merangkap Yang Dipertua MAIK telah menitahkan supaya MAIK mengambil peranan yang aktif dalam usaha merialisasikan adat istiadat Diraja Kelantan dan adat yang diamalkan oleh masyarakat biasa yang tidak bercanggah dengan hukum Islam, supaya diperkasa serta disebarkan kepada rakyat negeri Kelantan.

    Bagi memenuhi dan melaksanakan titah Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Kelantan merangkap Yang Dipertua MAIK itu melalui mesyuarat MAIK ke-887 pada 30hb April 2012 dan setelah mendapat ampuni perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V, maka telah diluluskan cadangan penubuhan “Unit Adat Istiadat di Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat melayu Kelantan”.

    Maka dengan itu, Unit Adat Istiadat Melayu Kelantan dengan rasminya tertubuh di Majlis Agama Islam Kelantan dan Adat Istiadat Melayu Kelantan pada 30hb April 2012 dan dianggotai oleh seorang Pegawai Adat dan dibantu oleh penolong pegawai Adat serta pembantu tadbir perkeranian/operasi.

  • PENGENALAN BALAI ADAT

    Laman web Balai Adat Istiadat ini merupakan gagasan idea inovasi dan kreativiti daripada pihak pengurusan Unit Adat Istiadat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK). Laman web ini dijadikan satu medium bagi mendokumen, mengarkib, melestarikan dan memberi maklumat berkenaan Adat Istiadat dan warisan Melayu khasnya bagi warga Kelantan, umumnya Malaysia.

    Justeru, Balai Adat Istiadat ini dilaksanakan atas dasar kesedaran pihak MAIK umumnya dalam mengembang dan melestarikan adat istiadat ini dalam bentuk media elektronik.

    OBJEKTIF

    Objektif penubuhan Balai Adat istiadat adalah seperti mana berikut :

    • Menyalurkan maklumat kepada masyarakat berkenaan Adat Istiadat Melayu Kelantan
    • Mempromosikan Adat Istiadat Melayu Kelantan kepada semua peringkat
    • Menjadikan medium laman web sebagai langkah menyalurkan ilmu kepada masyarakat
    • Melestarikan dan memperkukuh adat istiadat dalam tradisi yang berubah

Hubungi Kami

  • Majlis Agama Islam Kelantan,
    Kompleks Balai Islam Darulnaim Lundang 15200 Kota Bharu Kelantan
  • Tel : +609 7481512 | 1-800-88-6060
  • Fak : 09-7442160

Pengunjung : Hari Ini 0 | Semalam 11 | Minggu Ini 29 | Bulan Ini 122 | Keseluruhan 25369

Kubik-Rubik Joomla! Extensions