Dato' Perdana Menteri Paduka Raja

Haji Nik Mahmud bin Ismail (1880-1964)

Haji Nik Mahmud bin Ismail (1880-1964)

Lahir di Kampung Atas Banggol, Kota Bharu, Kelantan. Nik Mahmood lebih terkenal dengan panggilan Dato’ Perdana Menteri Paduka Raja.

Nik Mahmood mendapat pendidikan awal secara tidak formal daripada ayahnya, Nik Ismail bin Abdul Mubin, seorang guru agama dan Kadi Besar di Kota Bharu. Kemudian beliau mendalami pelajaran agama di Patani, di samping menuntut ilmu kebatinan, seperti ilmu kebal, ilmu besi dan ilmu nafas daripada Pak Yid Palembang dan Pak Sad. Pada tahun 1898, dia ke Mekah untuk mempelajari Ilmu Agama, Ilmu Perundangan dan Ilmu Kemasyarakatan.

Sekembalinya ke Kelantan pada tahun 1904, Nik Mahmood bekerja sebagai kerani di Pejabat Tanah dan kemudian dilantik sebagai kerani besar di pejabat Balai Besar Negeri. Kemudiannya dilantik sebagai Penolong Setiausaha Sulit Sultan pada tahun 1911. Pada tahun 1921, dilantik pula sebagai Perdana Menteri Kelantan. Beliau meletakkan jawatannya pada tahun 1945.

Nik Mahmood berjaya membuat perubahan dalam negeri khususnya dalam bidang pentadbiran dan kemasyarakatan. beliau telah menubuhkan Madrasah al-Muhammadiyah al-Kelantani dan beliau sendiri menjadi Naib Yang Dipertua. Beliau turut membuat pembaharuan dalam pengurusan kewangan seperti mengadakan Tabung Kewangan Baitulmal, menyusun program pendidikan dan sistem Undang-undang Syariah di Kelantan. Di samping itu, beliau memainkan peranan penting dalam usaha menubuhkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan pada tahun 1915, serta menyandang jawatan Naib Yang Dipertua MAJLIS (1915-1919). Nik Mahmood turut terlibat dalam beberapa penentangan terhadap penjajah di Kelantan seperti penentangan Tok Janggut (1915).

Nik Mahmood juga adalah seorang penulis yang aktif. Di samping menulis tentang agama islam, beliau juga menumpukan perhatiannya kepada ilmu kebatinan. Antara buku yang telah dihasilkan ialah Kitab Cahaya Pernama (1918), Kitab Geografi dan Tarikh Negeri Kelantan (1926), Ringkasan Cetera Kelantan (1934), Kitab Pati Rahsia (1948), Kitab Perbendaharaan Mastika (1946) dan Tajuk Kemuliaan (1946).

Nik Mahmood dianugerahkan pelbagai bintang dan darjah kebesaran, antaranya Dato’Bentara Setia, Seri Mahkota Kelantan (S.M.K), al-Muhammadi Darjah Pertama dengan gelaran Dato’ Seri Paduka Raja Mahkota Kelantan Yang Amat Berhormat, Seri Paduka Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (S.J.M.K.) atau Bintang Al-Ismaili daripada Sultan Kelantan, dan anugerah Honorary Commander of the British Empire (C.B.E.) daripada King George V England (1925). Nik Mahmood meninggal dunia pada 16 Ogos 1964.

Hubungi Kami

  • Majlis Agama Islam Kelantan,
    Kompleks Balai Islam Darulnaim Lundang 15200 Kota Bharu Kelantan
  • Tel : +609 7481512 | 1-800-88-6060
  • Fak : 09-7442160

Pengunjung : Hari Ini 1 | Semalam 7 | Minggu Ini 8 | Bulan Ini 171 | Keseluruhan 24023

Kubik-Rubik Joomla! Extensions